Isu-Isu Matematik
Pengajaran secara amnya merujuk kepada perbuatan menyampaikan sesuatu perkara penting atau ilmu kepada orang lain untuk dijadikan pedoman. Pengajaran Matematik pula merujuk kepada menyampaikan ilmu-ilmu berkaitan Matematik yang secara asasnya melibatkan operasi penambahan, penolakan, pendaraban dan pembahagian.
Ilmu Matematik sangat penting dalam kehidupan. Dikatakan bahawa masyarakat yang berpengetahuan tinggi dalam penggunaan Matematik untuk menangani cabaran hidup seharian adalah penting dalam merealisasikan aspirasi negara untuk menjadi negara industri. Oleh itu, pelajar perlu diasuh dari awal mengenai kemahiran menyelesaikan masalah dan berkomunikasi dengan matematik bagi membolehkan mereka membuat keputusan dengan berkesan. Ini penting bagi merealisasikan aspirasi negara itu tadi. Matematik adalah sangat penting bagi menyediakan tenaga kerja yang dapat memenuhi permintaan sesebuah Negara progresif. Ini menerangkan mengapa hampir kesemua syarat am untuk memasuki universiti awam mahupun swasta dalam apa jua bidang mementingkan pemohon sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran Matematik peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bukan itu sahaja, bagi memohon sesuatu jawatan juga, pemohon perlu lulus mata pelajaran Matematik di peringkat peperiksaan yang setaraf. Dalam bidang pembelajaran, Matematik melatih pemikiran yang logik dan sistematik dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Disiplin ini menggalakkan pembelajaran bermakna dan mencabar fikiran, justeru menyumbang kepada perkembangan menyeluruh seseorang individu. Ke arah matlamat ini, strategi penyelesaian masalah digunakan secara meluas dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Perkembangan penaakulan matematik dipercayai mempunyai kaitan yang rapat dengan perkembangan intelek dan kebolehan berkomunikasi murid. Bagi merealisasikan matlamat ini, secara langsungnya seorang guru Matematik mempunyai tanggungjawab yang sangat besar bagi menarik minat pelajar untuk mempelajari subjek Matematik. Seseorang guru itu perlu sentiasa mempunyai idea-idea baru dan masih segar dalam pengajarannya. Mereka perlu sentiasa hadir dengan teknik-teknik dan kaedah-kaedah yang menarik bagi mengelakkan pelajar berasa bosan mempelajari ilmu-ilmu dalam Matematik. Kaedah pengajaran yang berkesan adalah satu senjata penting yang perlu dikuasai oleh setiap guru tidak kira dalam apa jua mata pelajaran sekalipun. Mata pelajaran Matematik merupakan satu mata pelajaran yang sangat unik dan istimewa. Jika ditanya kepada 10 orang berbeza, mereka pasti mempunyai pelbagai pendapat yang berbeza mengenai kefahaman mereka terhadap Matematik. Justeru itu, seseorang guru Matematik perlu bijak melatih pelajar untuk berfikir secara kritis dan kreatif berkaitan Matematik yang tidak hanya tertumpu kepada silibus di sekolah tetapi juga perkaitannya terhadap kehidupan seharian. Kaedah pengajaran Matematik adalah topik yang telah dipilih dan akan difokuskan serta diberi penekanan dalam tugasan ini. Selain daripada kaedah pengajaran semasa yang kerap digunakan oleh kebanyakan guru, kami juga akan membincangkan mengenai beberapa masalah yang sering timbul serta cadangan penyelesaiannya. |